Biografi Edgar Rice Burroughs

Awal hidup

Edgar lahir pada 1 September 1875 di Chicago, Illinois kepada Mary Evaline (Zieger) Burroughs (1840–1920) dan Mejar George Tyler Burroughs (1833–1913), seorang peniaga dan askar yang pernah berkhidmat semasa Perang Saudara Amerika. Beliau mendapat nama tengahnya dari nenek sebelah bapanya Mary Coleman Rice Burroughs (1802-1889).[1][2][3] Keluarganya berketurunan Inggeris jati yang muncul sejak zaman pendudukan orang British di benua Amerika Utara.[4]

Beliau pernah belajar di beberapa sekolah. Setelah dia menamatkan pengajiannya di Michigan Military Academy tahun 1895, beliau cuba memasuki Akademi Tentera Amerika Syarikat di West Point namun gagal ujian kemasukannya. Beliau tetap dimasukkan dalam barisan askar berkuda 7th U.S. Cavalry di mana beliau ditugaskan di Fort Grant, Wilayah Arizona. Beliau diberhentikan khidmatnya pada tahun 1897 setelah didiagnos mempunyai suatu masalah jantung sehingga tidak dapat meneruskan kegiatannya.[5]

Kerjaya penulisan

Beliau bekerja sebagai seorang pemborong pengasah pensel pada tahun 1904, namun keuntungan yang diraih tidak begitu tinggi. Dia pun banyak kelapangan kerana kurangnya jualan yang dilakukan maka beliau menghabiskan masanya membaca majalah pulpa. Di sinilah berputiknya minat Edgar mahu menulis cerita rekaan pada 1911. Beliau menulis karya pertamanya Under the Moons of Mars secara bersiri dalam isu Februari ke Julai 1912 majalah The All-Story[6][7][8] – pada mulanya di bawah nama "Norman Bean" agar reputasi kerja lainnya dapat terjaga.[8]

Pada Oktober 1912, karya Tarzan of the Apes dilancarkan beliau yang memperkenalkan watak Tarzan, seorang manusia yang dibesarkan dalam kalangan mawas lalu menjadi seorang penunggu rimba. Edgar giat meluaskan populariti karya-karyanya melalui banyak adaptasi filem, komik serta pelancaran cenderamata; watak Tarzan serta petualangannya menjadi sangat disukai orang ramai.

Beliau melancarkan syarikat penerbitannya sendiri, Edgar Rice Burroughs, Inc., pada tahun 1923.

Senja hidup

Edgar berada di Honolulu, Wilayah Hawaii ketika berusia 60 tahun saat markas tentera laut A.S Pearl Harbor diserang Jepun.[9] Beliau memutuskan menjadi seorang wartawan perang pada ketika ini; beliau antara wartawan tertua semasa Perang Dunia Kedua berlangsung. Setelah Perang tersebut tamat, beliau berpindah ke Encino, California untuk menghabiskan sisa hidupnya; beliau tetap berkarya dengan sebanyak hampir 80 novel dihasilkan.

Beliau meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 19 Mac 1950. Beliau disemadikan di sebuah tanah ladang miliknya di California - kawasan sekelilingnya diberi nama Tarzana oleh para penduduknya sejak tahun 1927.[10][11]

Rujukan

WikiPedia: Edgar Rice Burroughs http://www.all-story.com/issues.cgi?action=show_st... http://www.edgarriceburroughs.com/ http://www.erbzine.com/mag4/0419.html http://globalfirstsandfacts.com/2017/08/16/edgar-r... http://www.imdb.com/name/nm0123194/ http://www.nwfsc.noaa.gov/research/divisions/sd/co... //archive.org/search.php?query=((subject:%22Burrou... http://www.edmund-rice.org/era5gens/ http://www.gutenberg.org/author/Burroughs,+Edgar+R... https://books.google.com/books?id=ZcBg6irPpVcC&pri...